Saud Daniel's Blog

Just another way to share

JENIS-JENIS EKOSISTEM TANAH LEMBAB DI SABAH

Muara sungai

Kawasan muara sungai diertikan sebagai suartu kawasan di mana kawasan pendalaman bertemu dengan kawasan air laut. Ekologi di sini menunujukkan hubung kait sistem darat dan air laut. Air tawar berlumpur yang membawa nutrien akan disebarkan serta menyuburkan kawasan perairan dan “mudflat”. Kawasan muara sungai merupakan sistem penapisan dan pemendapan bagi Lumpur-lumpur sungai.

Kawasan muara sungai menerima nutrien dari 3 sumber iaitu sungai-sungai, air laut dan sedimen di dasar. Kawasan muara sungai didiami oleh pelbagai spesis tumbuhan dan haiwan. Ini termasuklah hutan paya yang dipengaruhi oleh air pasang surut dan hutan bakau yang mana menyumbang nutrien kepada kawasan muara sungai.

Tanah Lumpur

Kawasan ini menunjukkan variasi yang tinggi dari segi fauna di mana ianya berkurangan dari segi bilangan spesis tetapi beberapa spesis seperti molluska banyak terdapat di kawasan ini. Kawasan ini merupakan kawasan yang penting di waktu air surut kerana menjadi tempat persinggahan dan pemakanan bagi burung-burung serantau samada tempatan atau yang berhijrah. Kawasan muara sungai dan mudflat adalah penting sebagai suatu tempat penting bagi kitaran hidup beberapa spesis mamalia marin seperti dugong dan ikan lumba-lumba. Ini merupakan kawasan pembiakan bagi spesis-spesis ini. Kawasan muara sungai juga menjadi tempat pembiakan dan pertumbuhan pelbagai spesis ikan marin, krustacea. Kawasan muara sungai merupakan suatu kawasan yang penting untuk perusahaan perikanan dan menyediakan pelbagai hasil perikanan kepada manusia terutamanya ikan, ketam, udang, kerang, siput, mamalia marin, reptilia, dan sumber bukan haiwan seperti kayu, tanah pasir dan liat untuk industri pembinaan dan bekalan air untuk beberapa industri tidak berasaskan hidupan liar.

Kawasan hutan paya air tawar

Kawasan ini tersebar luas di atas tanah “alluvial” yang ditenggelami air tawar untuk jangkamasa yang panjang. Ini dikaitkan dengan paya perairan, tasik-tasik air tawar, kawasan tanah rendah sungai-sungai. Kawasan tanah permukaan hutan paya ditenggelami air yang bernutrien tinggi dari proses-proses banjir yang mempunyai pH yang tinggi ( > daripada 6). Keadaan yang kurang berasid dan nutrien yang tinggi menyebabkan produktiviti dari kawasan ini adalah tinggi. Hutan paya air tawar adalah lebih tinggi (ketinggian pokoknya) dan kepelbagaiannya adalah lebih tinggi daripada hutan paya tanah gambut. Kawasan ekosistem paya air tawar mempunyai jenis-jenis tanah yang berbeza dan tumbuhan vegetasinya. Jenis-jenis tumbuhan yang boleh dijumpai termasuklah pandan, nipah, “shrub” dan hutan.

Kawasan hutan paya mempunyai pokok-pokok yang berketinggian 35 m, berliana dan tumbuhan epifit. Akar pokok-pokok ini akan berada di dalam air untuk jangkamasa yang panjang. Di dalam ekosistem yang mempunyai air bertakung yang panjang, akar-akar pokok telah mengadaptasikan dirinya untuk proses penukaran gas seperti akar banir, akar tegak, akar lelutut dan akar berjangkungan. Walaupun spesis hutan hampir sama dengan hutan tanah rendah dipterocarp, kepelbagaiannya adalah kurang. Pokok-pokok yang penting di dalam hutan paya air tawar termasuklah dari spesis Campnosperma, Alstonia, Eugenia, Canarium, Kompassia, Callophyllum dan Melanorrhoea. Pokok sago dari spesis Metroxylon sagu boleh dijumpai di kawasan hutan paya air tawar. Dari segi kepelbagaian hidupan-hidupan liar di kawasan hutan paya air tawar, ianya adalah lebih tinggi dari hutan paya gambut. Primate seperti Macaques, Macaca fascicularis banyak dijumpai di sini.

Kawasan hutan paya gambut

Hutan paya gambut boleh diertikan mempunyai tanah yang lebih daripada 65% kandungan organik. Kawasan paya gambut secara amnya adalah kurang nutrien kerana sumber airnya adalah daripada hujan dan oleh itu mempunyai kepelbagaian yang kurang berbanding dengan hutan paya air tawar. Pemendapan dan pengumpulan gambut kebiasaanya melebihi 50 cm kedalamannya dan rekod kedalaman yang pernah dicatit adalah 20 m di Kalimantan. Struktur permukaan gambut adalah ianya tegap, berfibrus dan mempunyai satu permukaan luar yang lembut diatas isinya yang lembut yang mempunyai kepingan-kepingan kayu dan sisa-sisa tumbuhan vegetasi yang lain.

Kawasan paya gambut adalah berasid (pH 4 atau kurang) dan nutrien yang kurang terutamanya kalsium. Kebiasaanya sungai-sungai yang mengalir dari kawasan ini berwarna coklat seperti teh O. Pembentukan hutan paya gambut bermula di bahagian hulu kawasan paya bakau di mana sedimensedimen halus yang dibawa oleh sungai akan terperangkap di dalam akar-akar banir paya bakau.

Selepas sesuatu jangkamasa yang lama, kawasan ini kurang ditenggelami air pasang surut dan kurang masin. Tumbuhan lain akan bertapak dan oleh kerana pengaruh air pasang surut dan kemasukan air tawar yang tinggi, tanah di sini senantiasa ditenggelami air. Mikro-organisma yang mana akan mengurai tumbuhan mati yang tidak dapat hidup di ekosistem ini dengan keadaan tiada oksigen, kandungan sulfat yang tinggi dan menyebabkan pengumpulan bahan-bahan organic. Lapisan gambut ini akan menutupi kawasan paya bakau. Kawasan ekosistem sungai. Sungai-sungai boleh diklasifikasikan sebagai bentuk tadahan air yang bergerak (sungai) atau statik (tasik). Secara amnya, rupa bentuk sungai di kawasan hulu adalah kecil, runcing dan airnya laju berbanding dengan sungai di kawasan hilir di mana ianya lebih luas dan lebih perlahan pengalirannya. Sungai-sungai boleh diklasifikasikan sebagai:

a) Sungai pergunungan – Dijumpai pada ketinggian lebih daripada 1000 m, mempunyai air sejuk yang deras dan tumbuhan yang kurang, mempunyai tumbuhan tebing yang kurang dan kepelbagaian hidupan yang terdiri daripada serangga-serangga air dan beberapa spesis ikan. Serangga-serangga ini telah menyesuaikan diri untuk hidup dikawasan yang mempunyai nutrien yang kurang. Ikan-ikan di sini telah menyesuaikan diri untuk hidup di sungai yang deras dengan pengubahsuaian bentuk pelekap pada bahagian ventral badannya untuk tidak dihanyutkan oleh air sungai yang deras.

b) Sungai tanah tinggi- Dijumpai di antara ketinggian 100 – 1000 m yang mempunyai air yang dingin dan ,mempunyai kepelbagaian tebing sungai yang tinggi terdiri dari tumbuhan Aroids (contohnya, Piptospatha) di kawasan sungai kecil dan pokok legum, Saraca sp. di tebing sungai yang luas. Sungai-sungai ini menampung kepelbagaian hidupan yang tinggi termasuk serangga air.

c) Sungai tanah rendah deras- Dijumpai dibawah ketinggian 100 m, ia mempunyai kawasan tebing sungai yang dilitupi oleh pokok-pokok tinggi yang memberi tempat teduh dan sumber nutrien (daun dan buah) kepada hidupan di dalam sungai. Kepelbagaian hidupan air adalah pelbagai dan kebiasaanya sungai adalah lebih luas. Ikan-ikan yang lebih besar dijumpai di kawasan ini. Kebiasaanya sungai ini mempunyai sedimen yang tinggi, dan pengubahsuaian oleh ikan-ikan di sini adalah berbentuk “barbell” ianya mempunyai organ deria yang penting untuk mengesan sumber makanannya. Komuniti ikan berubah dikawasan hilir sungai di mana spesis-spesis ikan Gobid, Julon-julong dan Buntal boleh dijumpai di kawasan air masin.

d) Sungai tanah rendah yang perlahan – Dijumpai dikawasan tanah rendah yang rata di mana tahap ketinggian air dipengaruhi oleh hujan. Di dalam ekosistem yang tidak diganggu, dibawah kanopi hutan, sungai-sungai ini mempunyai kepelbagaian hidupan yang tinggi. Di dalam keadaan yang bergambut atau berasid, warna air adalah teh o dan kepelbagaiannya adalah kurang.

e) Sungai pasang surut air tawar – secara amnya ia mempunyai kepelbagaian spesis yang tinggi dibahagian tebingnya dan dicirikan oleh spesis Pandanus, Eugenia dan pokok-pokok Palaquium.

Kawasan Hutan Paya Bakau

Hutan ini boleh dijumpai dikawasan pinggiran laut dan muara sungai. Hutan ini boleh dijumpai di dalam zon pasang surut di mana air pasang membawa air masin dari laut dua kali sehari. Satu ciri utama hutan ini adalah ia dipenuhi oleh lumpur. Hutan paya bakau adalah tanah lembab yang boleh dijumpai di iklim tropika. Tumbuhan paya bakau mempunyai spesis yang tahan kepada keadaan persekitaran yang berair masin dan berlumpur dan kebanyakannya terdiri dari pokok nipah iaitu Nypa fruticans. Kawasan paya bakau memberi perlindungan dan sumber makanan secara langsung atau tidak kepada pelbagai komuniti hidupan seperti burung, organisma marin, ikan-ikan, molluska, siput, reptilia dan lain lain lagi.

Kawasan hutan paya bakau mempunyai kepelbagaian fauna yang tinggi dari spesis krustasia dan molluska dan merupakan kawasan pembiakan dan pembesaran pelbagai spesis ikan dan udang. Spesis primate yang boleh dijumpai di kawasan ini termasuklah bangkatan, (Nasalis larvatus), Monyet kelabu (Presbytis cristata), Biawak (Varanus salvator) buaya (Crocodylus porosus) dan burung Pitta megarhyncha dan Cyornis rufigastra.

Filed under: Kehutanan dan Lingkungan, ,

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: